YANG di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan melantik enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada Jumaat, sekali gus membuka lembaran baharu pentadbiran negeri selepas kemelut politik berlarutan hampir empat bulan.Pelantikan itu menyaksikan barisan Exco kembali dibentuk dengan empat wakil Barisan Nasional (BN) serta masing-masing seorang daripada Wawasan dan PAS. Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan berlangsung di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim mengumumkan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mendapat perkenan untuk menganggotai barisan pentadbiran berkenaan iaitu empat wakil BN ialah ADUN Kota, Suhaimi Aini; ADUN Senaling, Mohamad Qayyum Abd Jalil; ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir dan ADUN Repah daripada MCA, Koh Kim Swee.Dua lagi ialah ADUN Gemas daripada Wawasan, Ridzuan Ahmad dan ADUN Bagan Pinang daripada PAS, Abdul Fatah Zakaria.Ismail turut mengucapkan tahniah kepada semua ADUN yang dilantik serta menjunjung kasih kepada Tuanku Muhriz atas perkenan baginda terhadap pelantikan tersebut.Pembentukan barisan baharu itu dibuat selepas Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 Exco terdahulu berkuat kuasa 20 September lalu atas alasan melanggar sumpah taat setia kepada pemerintah dan institusi diraja. Kemelut berkenaan turut menjejaskan kelancaran pentadbiran negeri apabila banyak keputusan tidak dapat dibuat tanpa Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Terdahulu, Ismail mengesahkan beliau bersama 10 bekas Exco menarik balik surat bertarikh 17 September yang mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.Keputusan itu dimaklumkan menerusi surat bertarikh 10 November kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.